Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat saya menyampaikan sepatah dua kata sempena dengan pelancaran Blog BKKSK, MPM pada tahun 2010 ini secara rasminya pada hari ini.
Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Induk BKKSK Sesi 2008/2010 dan semua pihak yang terlibat dalam mewujudkan Blog BKKSK ini. Semoga Blog BKKSK ini akan menjadi wadah penyampaian maklumat yang berkesan dan sekali gus mewujudkan ruang bagi membolehkan semua ahli BKKSK memberi pendapat dan komen membina melalui blog ini bagi memantapkan lagi BKKSK terutamanya dalam mengendalikan kebajikan dan kepentingan ahli yang bernaung di bawahnya.
Sesungguhnya, pewujudan laman Blog BKKSK ini amat bertepatan sekali dengan trend semasa, yang mana kebanyakan individu, kumpulan, dan pertubuhan dewasa ini gemar menggunakan kemudahan ini dalam memaparkan segala maklumat dan aktiviti yang berkaitan tentang diri ataupun tentang persatuan yang diwakili oleh mereka kerana sifatnya yang lebih santai. Sebagaimana yang kita sedia maklum, BKKSK telah ditubuhkan lebih dua dekad yang lalu dan dengan kewujudan blog seumpama ini menunjukkan bahawa BKKSK sentiasa bergerak maju untuk terus berjaya.
Selain itu, melalui paparan gambar aktiviti yang dijalankan oleh sesuatu persatuan dalam blog secara tidak langsung dapat mewujudkan keceriaan dan melahirkan nilai-nilai yang baik dan positif tentang aktiviti berpersatuan. Aktiviti yang melibatkan perasaan kasih sayang, kemanusiaan, atau semangat kesejagatan akan dapat memberikan impak yang besar terhadap masyarakat.
Oleh itu, selaku Ketua Eksekutif yang juga Penasihat kepada BKKSK, saya amat berharap agar laman blog ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para ahli BKKSK sebagai medium utama penyaluran maklumat yang berkaitan dengan BKKSK. Di kesempatan ini, saya juga ingin mengingatkan supaya blog ini digunakan dengan tulus dan bertanggungjawab.
Akhir kata, sekali lagi saya menggunakan kesempatan ini untuk saya mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada semua ahli Jawatankuasa BKKSK Sesi 2008/2010 serta orang perseorangan yang telah bertungkus-lumus untuk memastikan Blog BKKSK dapat dilancarkan dengan rasminya pada hari ini.
Terima kasih dan selamat maju jaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan