Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnianya, maka dapat saya menyampaikan seulas bicara sempena dengan pelancaran Blog BKKSK, MPM pada tahun 2010 ini secara rasminya pada hari ini.
Alhamdulilah, bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana dalam tempoh setahun tiga bulan, barisan ahli jawatankuasa BKKSK sesi 2008/2010 mentadbir dan mengurus BKKSK, jawatankuasa telah dapat menjalankan aktiviti dengan lancar dengan kerjasama semua ahli. Untuk itu, ingin saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli BKKSK yang telah menyertai setiap majlis dan aktiviti yang dianjurkan oleh BKKSK. Pada hari ini 25 Januari 2010 bersamaan dengan 9 Safar 1431 Hijrah, dua aktiviti BKKSK akan dilaksanakan serentak pada hari ini, iaitu pelancaran blog BKKSK yang akan dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Omar bin Abu Bakar, Ketua Eksekutif, MPM dan pelancaran Karnival Sukan MPM 2010.
Untuk itu, saya menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Induk BKKSK Sesi 2008/2010, khasnya kepada Jawatankuasa Kecil Kebudayaan dan Sosial kerana dapat merealisasikan hasrat BKKSK untuk mewujudkan blog BKKSK sebagai wadah untuk penyaluran maklumat secara sistematik yang berkaitan dengan BKKSK. Selain itu, laman blog berkenaan juga dapat dimanfaatkan oleh para ahli untuk memberi komen yang membina kepada pihak BKKSK bagi tujuan memantapkan lagi persatuan ini pada masa yang akan datang.
Apa yang membuat saya berasa lebih terharu ialah sokongan daripada pihak Pengurusan kerana membenarkan blog BKKSK ini diwujudkan bagi tujuan menjadi medium perhubungan sesama ahli BKKSK mulai tahun 2010. Untuk itu, setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Yang Berbahagia Tuan Haji Omar bin Abu Bakar, Ketua Eksekutif MPM, atas kelulusan dan kebenaran mewujudkan blog ini.
InsyaAllah, dengan kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengurusan untuk BKKSK mewujudkan blog ini, AJK BKKSK akan memanfaatkannya dengan sebaik mungkin bagi menyalurkan maklumat yang berfaedah dan berguna kepada para ahli BKKSK.
Pada kesempatan ini juga, ingin saya memohon maaf andai kata paparan blog ini tidak seindah seperti yang diharapkan. Namun terimalah blog ini seadanya sebagai suatu titik di garisan permulaan. InsyaAllah blog ini akan sentiasa dikemaskinikan dengan komen dan idea daripada ahli.
Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Eksekutif, atas kesudian beliau untuk melancarkan blog BKKSK pada hari ini, dan terima kasih juga untuk semua ahli jawatankuasa, dan para ahli BKKSK.
Sekian, selamat maju jaya.
AHMAD KAMAL B HJ ABDUL HADI
Pengerusi BKKSK
Majlis Peperiksaan Malaysia
Tarikh: 25 Januari 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan